PTPTN peruntuk RM66,000 kepada 132 orang pelajar UMK

Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin bergambar bersama Norliza (tengah) dan Razli (dua dari kiri).
Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin bergambar bersama Norliza (tengah) dan Razli (dua dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan sebanyak RM66,000 kepada 132 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang merupakan peminjam daripada golongan kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, setiap pelajar yang layak bakal menerima bantuan RM500 secara one off dan wang tersebut akan disalurkan terus ke akaun mahasiswa bagi meringankan beban mereka.

Menurutnya, pelaksanaan program itu merupakan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan UMK bagi memastikan penerima adalah daripada kumpulan sasaran yang layak.

“PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi yang membolehkan kami menerima dana daripada pelbagai pihak untuk diagihkan kepada pelajar.

"Kita juga mahu terus meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar sepanjang pengajian di universiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Norliza (dua dari kanan) menyerahkan replika kad sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar yang layak.
Norliza (dua dari kanan) menyerahkan replika kad sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar yang layak.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir,Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak; Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Norasni Ayob; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan, Hamdan Razali.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, PTPTN sentiasa prihatin dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kebajikan pelajar.

Tambah beliau, inisiatif program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang mula dilaksanakan pada tahun 2022 akan diteruskan bagi menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar.

“PTPTN yang ditubuhkan pada tahun 1997 telah diamanahkan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT tempatan sama ada awam atau swasta yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Selama 27 tahun penubuhannya, peranan dan jasa PTPTN telah melahirkan ramai modal insan yang berpendidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!