Barangan keperluan asas mampu tampung lebih 100,000 mangsa banjir - JKM

Sebanyak 4.4 tan metrik barangan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini. (Gambar kecil: Mazura)
Sebanyak 4.4 tan metrik barangan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini. (Gambar kecil: Mazura)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Barangan keperluan asas yang digerakkan ke 10 mini depo dan 155 pangkalan hadapan dijangka mampu menampung lebih 100,000 mangsa banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mazura Ngah Abd Manan berkata, dua daripada 155 pengkalan hadapan itu masing-masing terletak di Pulau Redang dan Perhentian yang mampu menampung kira-kira 300 keluarga di setiap pulau.

Menurutnya, barangan keperluan itu kini sedang diagihkan ke semua mini depo dan pengkalan hadapan bagi kegunaan mangsa banjir sepanjang MTL.

"Biasanya pada tahun sebelum ini kita hantar barangan ini pada akhir Oktober, namun kali ini penghantaran dibuat awal kerana MTL dijangka berlaku lebih awal.

"Kita telah menghantar 4.4 tan metrik barangan keperluan ke Pulau Redang manakala di Pulau Perhentian dijangka akan dihantar akhir bulan ini.

"Bekalan yang dihantar itu dijangka mampu bertahan selama tiga bulan bagi menghadapi MTL," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas Program Serah Barangan Keperluan Barang Bencana Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia, di sini pada Khamis.

Mazura (dua dari kanan) memeriksa bekalan keperluan asas yang akan dihantar ke pangkalan hadapan Pulau Redang pada Khamis.
Mazura (dua dari kanan) memeriksa bekalan keperluan asas yang akan dihantar ke pangkalan hadapan Pulau Redang pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mazura berkata, usaha agihan bekalan keperluan itu akan melibatkan pelbagai pihak jika berlaku kekurangan atau tidak mencukupi.

"Jika banjir semakin serius dan bekalan tidak mencukupi, kita terpaksa menggunakan khidmat agensi lain termasuk menggunakan pengangkutan udara.

"Kita memiliki satu depo utama di Pulau Kerengga, Marang yang menyimpan keseluruhan stok bekalan keperluan untuk mangsa banjir di seluruh Terengganu.

"Barangan daripada depo utama di Marang itu akan diagihkan ke mini depo dan pangkalan hadapan sebelum diserahkan ke pusat pemindahan apabila berlakunya banjir," katanya.

Jelas beliau, terdapat keseluruhan 590 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri bagi menempatkan mangsa banjir dari kawasan terjejas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!