Taiping 150 Ride 2024 barakan sambutan ke-150 Bandar Taiping
SAMBUTAN ulang tahun ke-150 Bandar Taiping pada 8 Disember depan akan dibarakan kayuhan Taiping 150 Ride 2024, yang menjadi antara acara penutup Tahun Melawat Perak 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, antara objektif penganjuran bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti selain mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal menarik.
“Acara ini bukan sahaja bertujuan merapatkan komuniti, tetapi juga mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik.
“Kami juga mengalu-alukan penyertaan daripada semua yang ingin merasai pengalaman yang unik ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kayuhan itu menyasarkan seramai 1,500 peserta akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping, melalui beberapa kawasan menarik termasuk Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting.
Aktiviti kali ini menawarkan dua kategori utama iaitu 90 kilometer (km) dan 60 km serta kategori kayuhan santai kepada orang awam sejauh 20 km.
Pendaftaran pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun untuk semua kategori juga percuma dalam program yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.
Taiping 150 Ride 2024 turut dibarakan penaja utama Alliance Bank Malaysia Berhad, Perak Transit Berhad, Allianz Malaysia Berhad, Protech Sports dan Menteri Besar Incorporate.
Selain itu, program turut mendapat sokongan agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah, Larut, Matang dan Selama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad, Kellee Kam, selaku penaja utama acara ini berkata, pihaknya berbangga untuk menyokong inisiatif yang menggalakkan gaya hidup sihat.
“Kami berharap penyertaan dalam kalangan anggota masyarakat memberangsangkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!