Lelaki maut, kereta langgar treler

Kereta mangsa rosak teruk selepas bertembung dengan treler di KM15 Jalan Pasir Puteh - Machang - Gerik pada Khamis.
Kereta mangsa rosak teruk selepas bertembung dengan treler di KM15 Jalan Pasir Puteh - Machang - Gerik pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 15 Jalan Pasir Puteh - Machang - Gerik pada Khamis.

Mangsa, Muhammad Haizal Halim, 20, yang bekerja sebagai 'runner' Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jerteh disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tangan dan dada.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.33 pagi ketika mangsa dari arah Bukit Yong menghala ke Machang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan memotong beberapa kenderaan sebelum terlanggar sebuah treler di laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu, mangsa parah dan kenderaan yang dinaiki rosak teruk.

Katanya, pemandu treler pula mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan awal.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik SI Jafri Alias Sulong di talian 019-9386224," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!