Sekolah agama disyaki ada kaitan GISBH tidak lagi beroperasi - JHEAIK

Foto hiasan. Gambar kecil: Dr Abd Ghani
Foto hiasan. Gambar kecil: Dr Abd Ghani
A
A
A

POKOK SENA - Sebanyak lima sekolah agama yang disyaki ada kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikesan dan kebanyakannya sudah ditutup dan tidak beroperasi.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, pihaknya mengesan perkara terbabit ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di premis berkenaan.

Beliau memaklumkan, sebanyak lima sekolah agama di beberapa daerah yang disyaki terlibat dengan GISBH.

"Bagaimanapun, apabila kita melakukan pemeriksaan tidak terdapat apa-apa bahan-bahan yang kita (boleh) kaitkan dengan GISB ini.

"Kebanyakan sekolah-sekolah (didakwa ada kaitan dengan GISB) telah ditutup dan tidak beroperasi," katanya

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas perkembangan dan situasi semasa GISB di Kedah.

Menurutnya, dua dari lima sekolah agama dikaitkan dengan GISB itu ada di daerah Kuala Muda, dua lagi di Padang Terap dan satu di Baling.

“Kita juga tidak mempunyai maklumat tentang bilangan pelajar setakat ini sebab sekolah telah tutup dan tiada bahan-bahan ditemui seperti negeri lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, premis perniagaan seperti restoran ataupun resort yang dikatakan ada hubungan dengan GISB didapati ada yang meneruskan aktiviti seperti biasa.

Menurutnya, ada premis perniagaan ini beroperasi namun didapati telah menukar ataupun menggunakan nama baharu.

Bagaimanapun, Abd Ghani menambah, pihaknya juga tidak menemui bukti-bukti di premis perniagaan di Kedah yang dikaitkan dengan GISB tersebut.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai fatwa Kedah tentang GISB, beliau menyatakan ia diluar bidang kuasa pihak JHEAIK dan masih menunggu keputusan daripada Jabatan Mufti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!