Lelaki maut langgar kereta berhenti di lorong kecemasan

Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di KM285 PLUS arah ke utara di Nilai, pada Khamis. Foto PDRM
Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di KM285 PLUS arah ke utara di Nilai, pada Khamis. Foto PDRM
A
A
A

NILAI - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 285 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian pada jam kira-kira 3 petang itu melibatkan kereta dipandu seorang lelaki dengan motosikal ditunggang mangsa juga lelaki masing-masing berusia 37 tahun.

"Sebelum kemalangan berlaku kereta jenis Proton Pesona itu dari arah Nilai menghala ke Shah Alam namun setiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri kenderaannya telah pancit.

"Pemandu kemudiannya berhenti di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan. Selang beberapa minit, datang sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang mangsa gagal mengelak dan melanggar belakang kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, akibat daripada kemalangan ini, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).

"Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!