Segerakan pelaksanaan pindaan perlembagaan kewarganegaraan - NGO

Family Frontiers
Family Frontiers
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memastikan tidak berlaku sebarang kelewatan pelaksanaan pindaan perlembagaan bagi kewarganegaraan anak-anak yang dilahirkan di luar negara secara kuat kuasa undang-undang.

Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers), Adlyn Adam Teoh berkata, turut membimbangkan adalah tiga pindaan regresif yang masih digabungkan bersama pindaan progresif untuk ibu-ibu.

Menurutnya, ia termasuk penghapusan kewarganegaraan automatik untuk anak-anak kepada pemegang Pemastautin Tetap yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak mempunyai kewarganegaraan.

"Selain itu, penurunan had usia untuk memohon kewarganegaraan dari 21 kepada 18 tahun dan pembatalan kewarganegaraan untuk isteri warga asing jika perkahwinan mereka dibubarkan dalam tempoh dua tahun setelah memperoleh kewarganegaraan.

"Kami dan Rangkaian Ibu-ibu Malaysia menyambut kelulusan pindaan yang memberikan hak sama rata kepada wanita Malaysia atas dasar yang sama seperti lelaki Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka dilahirkan di luar negara secara kuat kuasa undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Adlyn Adam, langkah bersejarah tersebut menandakan saat penting dalam usaha mencapai kesaksamaan jantina.

Ujar beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan anggota Dewan Rakyat yang menyokong hak kewarganegaraan sama rata untuk ibu-ibu Malaysia dan menantikan kelulusannya di Dewan Negara.

“Kami semua bangga menjadi rakyat Malaysia hari ini. Keputusan hari ini sudah lama ditunggu. Pindaan ini akan mengurangkan beban emosi dan birokrasi dihadapi oleh ramai ibu Malaysia yang telah lama bergelut dengan ketidakpastian serta tekanan status kewarganegaraan anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ia memastikan bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu Malaysia kini dapat menikmati hak dan keistimewaan sama seperti yang dilahirkan dalam negara dalam membentuk rasa kepunyaan dan keselamatan," katanya.

Jelasnya, namun kejayaan itu akan lebih manis jika pindaan tersebut bersifat retroaktif, memastikan bahawa semua ibu Malaysia yang terkesan dan anak-anak mereka akan menikmati manfaat daripada pindaan ini.

Kata beliau, walaupun pihaknya menghargai komitmen Menteri Dalam Negeri untuk memproses permohonan semasa di bawah Artikel 15(2), pindaan itu masih mengecualikan anak-anak yang belum memohon dan telah melepasi usia 18 tahun termasuk mereka kematian ibu bapa.

Seorang ibu warga Malaysia yang terkesan akibat undang-undang kewarganegaraan Malaysia yang tidak sama rata dikenali Mashithah berkata, hari ini menyedihkan buatnya dan ibu-ibu warga Malaysia yang telah melahirkan anak di luar negara.

"Harapan kami telah musnah. Perit kerana saya telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi bahawa majoriti ahli Parlimen memahami dan mahu masalah kerakyatan yang menyebabkan anak saya menjadi tidak bernegara selesai," katanya.

Menurut Adlyn Adam, walaupun terdapat inisiatif ke arah kesaksamaan, ia sangat mengecewakan kerajaan telah memilih untuk menghapuskan laluan Perlembagaan untuk kewarganegaraan.

Ujarnya, selain itu, kerajaan perlu mewujudkan laluan untuk kewarganegaraan bagi anak-anak wanita Malaysia dikecualikan ole sifat tidak retroaktif pindaan ini dan melaksanakan polisi jelas dan kukuh untuk melindungi anak-anak kepada pemegang Pemastautin Tetap yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak mempunyai kewarganegaraan, kerana laluan kewarganegaraan secara automatik telah dihapuskan.

"Kerja kami tidak berakhir di sini. Family Frontiers akan memantau dengan teliti pelaksanaan undang-undang dan polisi baru ini.

"Kami bersedia untuk menyokong Kementerian Dalam Negeri dalam menangani isu-isu ini dan kekal berharap bahawa kerajaan akan terus berusaha untuk menuju ke arah di mana setiap anak di Malaysia dilayan secara adil di bawah undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokongnya terutama belia Malaysia, organisasi masyarakat sivil dan rakan-rakan setia kami seperti Malaysian Citizenship Rights Alliance (MCRA) serta Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang telah berdiri bersama kami sepanjang perjalanan ini.

Kata beliau, pihaknya berjanji untuk meneruskan perjalanan tersebut bagi memastikan setiap anak daripada ibu bapa Malaysia sama ada anak kandung atau angkat boleh mendapat kewarganegaraan dalam tempoh wajar tanpa mengira jantina atau status perkahwinan ibu bapa atau tempat kelahiran anak tersebut.

"Kepada ibu-ibu Malaysia yang telah berjuang tanpa lelah untuk memastikan tiada wanita lain yang akan mengharungi ketidakadilan yang sama, anda merupakan tulang belakang gerakan ini.

"Komitmen anda dan sokongan untuk satu sama lain melalui proses panjang ini telah membawa kami ke saat ini. Kepada semua yang telah menyokong kempen kami, setiap pos, kata-kata semangat dan tindakan solidariti telah membawa kami lebih dekat kepada pencapaian ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!