Jasad budak autisme tersekat di timbunan sampah, paip di dasar sungai

Mayat mangsa ditemui tersekat pada sampah serta batang paip di dasar sungai dalam kejadian di Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu.
Mayat mangsa ditemui tersekat pada sampah serta batang paip di dasar sungai dalam kejadian di Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke muara sungai ketika mandi bersama rakannya ditemui meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Lokub, Sepanggar, di sini pada Khamis.

Indah Tawasil, 11, yang juga kanak-kanak autisme ditemui pada jam 6.30 petang apabila jasadnya dalam keadaan tersekat pada objek di dasar sungai kira-kira 25 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selepas mangsa dilaporkan tidak timbul di permukaan sungai dalam kejadian jam 1 tengah hari.

"Operasi dilakukan dengan menggunakan bot penyelamat dan turut dibantu oleh unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dengan kaedah selaman untuk mencari mangsa yang dikatakan autisme.

"Selepas kira-kira lima jam SAR, mayat mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tersekat pada timbunan sampah dan batang paip yang melintang di dasar sungai oleh pasukan PPDA," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya lagi, mayat mangsa segera dibawa naik ke tebing sungai untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kanak-kanak perempuan tersebut dikhuatiri lemas selepas terjun ke muara sungai dari jambatan berhampiran ketika mandi bersama rakannya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!