Majlis Fatwa Negeri Sabah putuskan GISBH bercanggah, menyeleweng

GISBH menyeleweng daripada sudut akidah antaranya dengan meyakini Ashaari Mohammad atau Abuya ghaib dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman serta menyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat yang bercanggah dengan syarak. Foto hiasan
GISBH menyeleweng daripada sudut akidah antaranya dengan meyakini Ashaari Mohammad atau Abuya ghaib dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman serta menyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat yang bercanggah dengan syarak. Foto hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan syarikat gabungannya bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 yang bersidang pada 1 dan 2 Oktober lepas.

"Penyelewengan ini meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, GISBH menyeleweng daripada sudut akidah antaranya dengan meyakini Ashaari Mohammad atau Abuya ghaib dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman serta menyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat yang bercanggah dengan syarak.

"Seperti bertabarruk dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain,” katanya.

Penyelewengan daripada sudut syariah menurut Pejabat Mufti Negeri Sabah termasuk mendakwa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi dan menunaikan solat jamak qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabilillah.

Sementara penyelewengan dari sudut muamalah ekonomi antaranya penyalahgunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan serta orang ramai dan eksploitasi ahli pekerja seperti kerja tanpa gaji serta pembayaran wang tugasan harian.

"Sehubungan dengan itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan ajaran tersebut dengan segera,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!