Saman 1MDB: Riza Aziz guna AS$248 juta beli hartanah, belanja perjudian

Riza Shahriz Abdul Aziz. Foto Bernama
Riza Shahriz Abdul Aziz. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa wang AS$248 juta telah digunakan untuk kepentingan peribadi Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu bagi membayar pembelian beberapa hartanah dan perbelanjaan berjudi.

Menerusi kenyataan pembukaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperoleh media hari ini, syarikat itu dan tiga lagi mendakwa wang tersebut juga telah digunakan oleh Riza Shahriz serta sekutunya untuk membeli memorabilia filem selain membiayai filem keluaran Red Granite Pictures.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited telah memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana kira-kira AS$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.

1MDB selaku plaintif juga mendakwa kesemua defendan menerima dana itu yang diketahui telah diseleweng daripada syarikat tersebut dan secara tidak langsung membantu pelanggaran kewajipan fidusiari atau amanah oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Syarikat itu mendakwa Riza Shahriz adalah seorang yang tidak jujur dan beliau mempunyai pengetahuan bahawa urus niaga membabitkan penerimaan pelbagai pindahan wang dalam tempoh yang material iaitu antara 2010 dan 2012 adalah urus niaga yang tidak jujur.

"Sebagai alternatif, Riza Shahris mempunyai asas yang mencukupi untuk mengesyaki kewajaran pindahan wang itu dan mengambil keputusan secara sedar untuk tidak membuat pertanyaan sekali gus membuktikan pengetahuan sebenar beliau.

"Beliau tahu bahawa dana yang diterima daripada defendan kedua dan ketiga boleh dijejaki kepada perlakuan pecah amanah atau pelanggaran kewajipan fidusiari. Sebagai alternatif, beliau sengaja membutakan mata," katanya.

Kes itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Artikel Berkaitan:

Plaintif memohon deklarasi bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab menyalahgunakan dana itu dan menuntut agar ia dibayar balik.

Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Oktober 2021 mendakwa telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!