Rasuah jejas kualiti perkhidmatan bekalan air untuk rakyat

Kelemahan dalam mengawal selia syarikat atau penyedia perkhidmatan air sehingga mengundang kegiatan rasuah boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan bagi membekalkan air kepada rakyat. Foto hiasan (Gambar kecil: Zainal Adnan)
Kelemahan dalam mengawal selia syarikat atau penyedia perkhidmatan air sehingga mengundang kegiatan rasuah boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan bagi membekalkan air kepada rakyat. Foto hiasan (Gambar kecil: Zainal Adnan)
A
A
A

SHAH ALAM - Kelemahan dalam mengawal selia syarikat atau penyedia perkhidmatan air sehingga mengundang kegiatan rasuah boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan bagi membekalkan air kepada rakyat.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, sehubungan itu, langkah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mewujudkan pasukan daripada pelbagai kepakaran dalam usaha menghindari rasuah adalah wajar.

Menurutnya, ini kerana kegiatan rasuah dalam sektor tersebut perlu diberi perhatian penuh oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berkait rapat dengan kepentingan awam.

“Saya sangat bersetuju dengan usaha mereka kerana kita tahu sekiranya berlaku kes rasuah dalam SPAN, ia akan merosakkan reputasi organisasi dan boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap badan pengawalseliaan yang sepatutnya melindungi kepentingan mereka.

"Sistem pemantauan dan audit dalaman yang lemah secara tidak langsung telah memberi ruang kepada amalan jenayah tersebut serta penyelewengan tidak dapat dikesan untuk tempoh masa lama.

“Pelaku jenayah rasuah dalam sektor air juga mungkin mempunyai hubungan dengan individu atau pihak yang berpengaruh.

"Ini boleh menyebabkan kes-kes tersebut kurang diberi perhatian atau proses penguatkuasaan menjadi lebih sukar akibat campur tangan politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai usaha SPAN yang akan bekerjasama dengan pihak berkepakaran bagi membangunkan pelan strategik khusus berkaitan tatakelola dan antirasuah industri perkhidmatan air.

Artikel Berkaitan:

Pelan strategik itu akan merangkumi pendekatan yang bersesuaian untuk meneliti amalan, sistem atau tatacara terbaik agar industri perkhidmatan air di Malaysia bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Mengulas lanjut, Zainal Adnan berkata, kegiatan rasuah boleh diatasi melalui komitmen tinggi daripada pihak pengurusan dengan langkah pencegahan yang berkesan.

Tambahnya, semua proses tender perlu dilaksanakan dengan telus dan terbuka serta harus dipantau oleh pihak awam.

“Perlu wujudkan juga saluran pelaporan yang boleh diakses oleh pekerja dan masyarakat untuk melaporkan sebarang aktiviti rasuah serta salah laku.

“Ini kerana sesiapa yang terlibat dalam penyelewengan atau rasuah harus dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!