Tubuh pasukan petugas kaji, tangani ketidakadilan RUU Perlembagaan kewarganegaraan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan pasukan petugas meliputi pelbagai pihak dan parti yang berperanan mengkaji dan menangani ketidakadilan dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

Gabungan Hak Kerakyatan Malaysia (MCRA) berkata, meskipun pihaknya menyambut baik pindaan RUU berkenaan, ia tidak boleh menidakkan cubaan kerajaan yang didakwa berkompromi atas perkara tidak berasas.

Justeru menurutnya, Parlimen perlu terus mempunyai kuasa pemantauan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengiktiraf kewarganegaraan anak-anak pemegang pemastautin tetap (PR) melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC).

"Menteri dan setiap ahli Parlimen yang mengundi menyokong Rang Undang-Undang ini harus menjelaskan bagaimana SOP memberikan jaminan hak yang lebih kukuh daripada undang-undang, terutamanya peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan

"Kementerian juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan pematuhan ketat dan pelaksanaan SOP, termasuk memberikan sebab penolakan permohonan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan pindaan tersebut yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

RUU berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Mac lalu, diluluskan dengan majoriti dua pertiga ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 70 wakil rakyat.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, MCRA mendakwa perbahasan berkaitan RUU tersebut di Dewan Rakyat mendedahkan kekurangan rundingan yang menyeluruh dan tidak inklusif dengan semua pihak berkepentingan

Sehubungan itu, MCRA menyokong gesaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau supaya setiap RUU yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan wajib dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Ia bagi memastikan setiap perkataan dan seksyen pindaan RUU dibincangkan dan dibahaskan secara menyeluruh.

“Pindaan yang terburu-buru ini, dengan mengarahkan ahli Parlimen mengikut arahan parti, menjejaskan keutamaan Perlembagaan Persekutuan dan mengenepikan kesucian pemisahan kuasa serta kebebasan Parlimen,” ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!