Dugaan rakyat Kedah kali ini lebih panjang
BANJIR sudah menjadi fenomena biasa di negara ini, namun pada tahun ini dikatakan agak luar biasa apabila turut menimpa beberapa tempat yang tidak pernah dinaiki air.
Bagi Kedah, banjir tidaklah seburuk kejadian pada tahun 2010 yang menenggelamkan bandar raya Alor Setar.
Namun, dari segi jangka masanya, ia dianggap antara buruk kerana berlarutan hampir sebulan.
Enam daerah dilanda banjir bermula 17 September lalu berikutan hujan berterusan selama dua hari iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim.
Sehingga 15 Oktober, gelombang ketiga banjir berlaku di beberapa daerah seperti Baling, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena membabitkan 1,502 mangsa.
Jumlah mangsa banjir tertinggi pernah direkodkan mencecah 10,914 orang ketika banjir gelombang pertama iaitu pada 17 hingga 27 September.
Hujan lebat berterusan bertembung fenomena air pasang besar menjadi faktor penyumbang kepada banjir kedua terburuk kali ini.
Bencana banjir juga memberikan kesan kepada penduduk akibat kerosakan harta benda, malah perniagaan turut terjejas.
Misalnya, seorang peniaga nasi lemak di Jalan Putra, Alor Setar memberitahu, dia hanya dapat membuka kios lapan hari sepanjang September disebabkan banjir dan hujan berterusan.
Namun, bencana bukan modal untuk meraih laba politik atau mencari kesalahan, sebaliknya inilah masa untuk semua pihak berganding bahu atas sifat kemanusiaan.
Situasi cuaca tidak menentu dengan kadar hujan yang tinggi akibat peralihan monsun sudah tentu tidak dapat dielakkan. Tidak wajar menyalahkan sesiapa dalam isu ini.
Bagaimanapun, penulis kagum dengan sikap masyarakat Malaysia yang prihatin apabila pelbagai bantuan mencurah dari pelbagai negeri.
Selain keperluan asas, ada yang menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
Sikap murni seperti inilah harus sentiasa disuburkan kepada masyarakat terutama generasi muda.
Pun begitu, langkah pihak berwajib menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang trauma akibat kehilangan pendapatan atau kerosakan harta benda sedikit sebanyak melegakan.
Diharap sumbangan RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada kerajaan Pusat kepada setiap ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM1,000 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dapat meringankan beban mangsa terlibat.
Selain itu, kajian terhadap punca berlakunya banjir perlu dilaksanakan segera.
Selain faktor alam seperti cuaca yang menyebabkan berlaku banjir monsun seperti Monsun Timur Laut (MTL), banjir kilat biasanya berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan pesat.
Disebabkan itu, penting untuk melaksanakan dasar, amalan dan pelaksanaan projek yang dapat mengurangkan risiko banjir.
Bencana yang berpunca daripada buatan manusia perlu dikawal bagi mengurangkan kerugian serta kemusnahan. Antara yang boleh dilakukan termasuk membina bangunan dan penempatan berdaya tahan banjir, memasang sistem peringatan awal banjir, penanaman semula hutan dan pemuliharaan kawasan tadahan air.
Masyarakat juga perlu dididik agar sentiasa siap siaga berdepan bencana selain bekerjasama dalam usaha pemulihan selepas bencana berakhir.
Semoga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini dapat disiapkan segera dan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan.
Enam projek mitigasi banjir dalam pelaksanaan dengan kos lebih RM512 juta ialah RTB Sungai Kedah (Anak Bukit), RTB Bandar Jitra Selatan, RTB Baling, RTB Pendang pakej satu dan dua serta projek pembinaan infrastruktur sabo di Sungai Kupang, Baling.
Walau apa pun, diharapkan juga rakyat Kedah sentiasa berwaspada kerana dijangkakan lima daerah berdepan fenomena air pasang besar selama tiga hari bermula hari ini.
Selain Langkawi, daerah lain yang diramalkan terkesan ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda.
* Roslinda Hashim ialah Ketua Biro Sinar Harian Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!