Guru, ibu bapa perlu ubah strategi didik pelajar - Pakar

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Hasnah)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Hasnah)
A
A
A

SHAH ALAM - Guru dan ibu bapa perlu memberikan sentuhan kemanusiaan mengenai kepentingan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada murid seawal Tahun Satu bagi menangani isu ketidakhadiran menduduki peperiksaan utama itu.

Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Hasnah Toran berkata, ia berikutan kebanyakan pelajar kini menganggap SPM tidak penting sehingga ramai dalam kalangan mereka gagal memperoleh sijil tersebut.

Menurutnya, jika tindakan sentuhan kemanusiaan diambil semasa pelajar berada di sekolah menengah, ia sudah dikira terlambat.

“Maka ibu bapa dan guru sebenarnya perlu ubah strategi dalam mendidik pelajar ini.

“Zaman dah berubah, anak-anak sekarang bukan sahaja dapat input daripada ibu bapa atau guru-guru tetapi daripada media sosial,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon SPM 2024/2025 telah ditubuhkan dalam usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu merupakan tindakan terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah merancang pelan intervensi dengan melaksanakan pemerkasaan terhadap program sedia ada.

Selain itu, tambah Hasnah, isu-isu lain seperti kemiskinan atau masalah ibu atau bapa turut mempengaruhi ketidakhadiran pelajar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan utama berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut tidak mencukupi sekiranya ia hanya memfokuskan tentang kehadiran murid ke SPM.

“Saya harap pentaksiran psikometrik yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak memerlukan sejumlah wang yang banyak dibelanjakan untuk membangunkan pentaksiran ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!