'Arif Aiman bukan Messi atau Ronaldo'
SKUAD Harimau Malaya perlu mencari cara dalam usaha mengeksploitasi sepenuhnya kualiti dimiliki Arif Aiman Hanapi seperti yang dilakukannya bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, aksi Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut dilihat kurang menjadi bersama Harimau Malaya berbanding cukup tajam ketika bersama Harimau Selatan.
Menurutnya, kekurangan bantuan daripada rakan sepasukan untuk Arif Aiman mungkin antara punca dia gagal menyinar di pentas antarabangsa.
“Bagi saya, bola sepak ini bukan dimainkan oleh seorang pemain, Arif Aiman bukan Messi atau Ronaldo. Jadi, kita tak boleh mengharapkan dia lakukan semua perkara.
“Pemain lain juga perlu mainkan peranan tetapi jika pemain lain tidak dapat mempamerkan prestasi terbaik, sokongan kepada Arif Aiman ini tidak berlaku berbanding ketika dia beraksi bersama JDT apabila dia dikelilingi pemain berkualiti.
“Namun, kita juga kena faham tahap Liga Super, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan antarabangsa tidak sama. Walaupun di ACLE dia menyerlah tetapi ACLE itu masih lagi di peringkat kelab.
“Sama ada Arif Aiman atau rakan sepasukan, perlu tingkatkan permainan kerana cabaran di peringkat negara ini lebih tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini Arif Aiman gagal untuk menonjolkan impak diharapkan ketika skuad negara tewas 0-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan di Auckland pada Isnin.
Pemain berusia 24 tahun itu hanya beberapa kali memegang bola, selain tidak dapat bergerak lincah seperti yang biasa dilakukannya bersama JDT.
Dalam pada itu, Sulaiman juga menyifatkan Harimau Malaya bernasib baik kalah dengan jaringan empat gol ketika menentang pasukan di ranking ke-95 dunia itu.
“Kalau kata barisan serangan lawan lebih tajam pada separuh masa pertama, saya rasa keputusan jaringan mungkin lebih daripada empat gol.
“Bagi saya perlawanan yang sangat mengecewakan, dari segi semua aspek kita ketinggalan jauh dari New Zealand dan ia perlu di atasi dalam usaha memastikan kebangkitan pasukan negara dalam perlawanan akan datang terutama kelayakan Piala Asia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!