Raih gelaran Ironman Malaysia pada usia 61 tahun selepas 4 kali gagal

Tajudin berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia selepas menghabiskan cabaran dalam masa 15 jam 54 minit 23 saat.
Tajudin berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia selepas menghabiskan cabaran dalam masa 15 jam 54 minit 23 saat.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] USAHA yang konsisten dan belajar daripada kelemahan lalu menjadikan seorang lelaki berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia pada usia 61 tahun.

Pesara, Tajudin Mustaffa berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbesar yang diraih selepas lima kali menyertai sukan Triathlon iaitu Kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi.

Tajudin (tengah) bersama keluarga selepas Kejohanan Ironman Malaysia.
Tajudin (tengah) bersama keluarga selepas Kejohanan Ironman Malaysia.

"Saya masuk Ironman kali pertama pada 2009 tetapi saya tidak berjaya habiskan, percubaan kedua adalah 2018 dan saya berjaya sampai penamat, namun lebih dua minit daripada masa yang ditetapkan iaitu 17 jam.

"2019 saya masuk lagi, tapi tak habis sebab saya cedera ketika larian yang ke tujuh kilometer. Itu yang terakhir sebelum negara dilanda Covid-19.

"Tahun lepas, saya cuba lagi namun masih tidak berjaya tamatkan sebab hadapi masalah pada kilometer ke-16 ketika larian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tajudin ketika acara larian sejauh 42.2km.
Tajudin ketika acara larian sejauh 42.2km.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, walaupun menghadapi kegagalan sebanyak empat kali, namun itu tidak menjadi halangan kepadanya untuk terus berusaha.

Malah katanya, semua kelemahan yang berlaku sebelum ini dijadikan sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri menjadi lebih baik dan berazam mahu mendapatkan gelaran iron man.

"Tahun ini saya berlatih dengan gigih dengan belajar daripada kesalahan dan kelemahan empat tahun sebelum ini dan akhirnya berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia dengan catatan masa 15 jam 54 minit 23 saat.

"Tipulah jika tiada cabaran ketika latihan, memang tidak dinafikan. Macam berbasikal, agak sukar untuk saya buat latihan sebab kita ada dua pilihan sama ada di jalan raya atau di rumah menggunakan 'bike smart trainer'.

Tajudin ketika acara berbasikal sejauh 180km.
Tajudin ketika acara berbasikal sejauh 180km.

"Kalau jalan raya, risiko sangat tinggi sebab banyak kenderaan. Kawan saya pun ramai yang kemalangan ketika latihan, jadi untuk elakkan risiko... 80 peratus latihan berbasikal saya buat di rumah sahaja," jelasnya.

Tambah beliau, untuk mencapai kejayaan seperti ini bukan mudah kerana ia memerlukan daya tahan yang kuat daripada segi mental dan fizikal.

Ujarnya, selain daripada latihan yang konsisten dia juga menjaga pemakanan, makan vitamin untuk pemulihan selepas latihan dan tidak pernah merokok.

Tajudin ketika acara berenang sejauh 3.8 kilometer (km).
Tajudin ketika acara berenang sejauh 3.8 kilometer (km).

"Saya makan saja macam orang biasa, tiada pantang larang tapi saya akan sentiasa lakukan senaman atau latihan lebih lama jika saya makan dan minum manis dalam kuantiti banyak.

"Kalau kita makan 'tiga' pastikan kita buang 'empat', kena lebih daripada jumlah kita makan. Barulah badan akan kekal sihat dan cergas. Jangan makan makanan yang tak sihat seperti banyak minyak, jajan dan makanan proses," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!