Penantian penuh makna untuk sekeping kad biru
SHAH ALAM - Para ibu yang selama ini berjuang untuk mendapatkan hak kewarganegaraan anak secara automatik kini boleh menarik nafas lega setelah Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan pada Khamis.
Pindaan ini membolehkan ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk menurunkan kerakyatan kepada anak-anak mereka secara automatik, sama seperti peranan ayah.
Seorang ibu yang telah berjuang selama 13 tahun untuk memastikan dua anaknya memiliki kad pengenalan sebagai identiti diri, Aniza Ismail, 52, menyatakan bahawa ini adalah penantian yang penuh makna bagi ibu-ibu yang senasib dengannya.
“Saya amat gembira apabila kerajaan akhirnya meluluskan pindaan RUU berkaitan kewarganegaraan ini. Ia merupakan suatu perubahan yang positif,” katanya kepada Sinar Premium.
Aniza, sebelum ini, adalah ibu kepada dua anak yang dinafikan hak untuk menjadi warganegara hanya kerana bapa mereka merupakan warga asing dan dilahirkan di luar negara.
Namun, kedua-dua anaknya berjaya memperoleh hak kewarganegaraan pada Mac lalu, tiga bulan selepas Sinar Harian melaporkan kisah mereka dalam artikel bertajuk ‘Apa Dosa Kami’ pada 21 Disember 2022.
Ketika ditanya mengenai harapannya sebagai seorang ibu yang pernah melalui pelbagai cabaran untuk mendapatkan hak kewarganegaraan anak-anaknya, Aniza berharap kelulusan ini akan memudahkan perjalanan hidup mereka.
“Harapan saya adalah agar tiada lagi ibu yang perlu mengharungi kesukaran seperti yang telah saya lalui. Semua anak yang lahir berhak mendapatkan hak dalam aspek kesihatan, pendidikan, dan sosial,” tambahnya.
Dengan perubahan ini, hak kewarganegaraan anak-anak dapat diiktiraf, memberikan ketenangan kepada ibu dan memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
Aniza juga percaya bahawa dengan kelulusan RUU ini, perjalanan hidup ribuan anak-anak yang ‘tidak diiktiraf’ akan menjadi lebih mudah dan bermakna.
“Diharapkan, dengan langkah-langkah yang diambil, mereka akan menikmati peluang yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera.
“Keseluruhan sistem ini seharusnya memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan masa depan yang cerah bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!