PM bentang Belanjawan 2025 petang ini

Anwar menunjukkan dokumen Belanjawan 2025 ketika hadir meninjau persiapan penyediaan Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan. Foto Bernama
Anwar menunjukkan dokumen Belanjawan 2025 ketika hadir meninjau persiapan penyediaan Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat petang ini.

Ia merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan beliau dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial pada jam 4 petang ini.

Menurut kenyataan prabelanjawan 2025 yang disiarkan dalam laman sesawang khas Belanjawan Kementerian Kewangan, Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada teras utama kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

Teras menaikkan siling bertujuan menstrukturkan semula ekonomi dan meningkatkan daya saing negara bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia manakala teras menaikkan lantai bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memastikan kesaksamaan peluang, taraf hidup yang baik dan perlindungan sosial untuk semua.

Teras tatakelola baik dan reformasi sektor awam pula bertujuan mengutamakan aspek ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dalam kerajaan supaya matlamat yang digariskan Malaysia dapat dicapai.

Pada 7 Oktober lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri berkata, lebih banyak penambahbaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam belanjawan itu untuk memastikan pertumbuhan pesat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat secara saksama.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan takwim menerusi laman rasmi Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin depan (21 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.

Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November untuk diluluskan Dewan Rakyat. - Bernama

Nak tahu laporan terperinci mengenai Belanjawan 2025?. Jom klik DI SINI!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!