KDN FC yakin benam Kuala Lumpur City
KELANTAN Darul Naim (KDN) FC yakin dapat membenam Kuala Lumpur City sekali gus meraih mata penuh pada Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ketua Jurulatihnya, Park Jaehong berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada aksi terakhir di Paroi selain kehadiran pemain baharu yang telah memberikan impak positif kepada pasukan sebelum ini.
"Jelas kehadiran pemain baharu mencetuskan impak dan membolehkan kami mencatatkan kejayaan sebelum bertandang ke Cheras.
"Para pemain mula mendapat sedikit keyakinan dan aksi dengan Kuala Lumpur ini kami kena tunjuk apa yang kami miliki terutamanya ketika bertahan.
"Kami juga kena tahu di mana, apa yang telah dirancangkan dan bagaimana untuk mengatasi tekanan," katanya.
Beliau berkata, selain itu, pemain juga mesti tahu bagaimana untuk meneruskan permainan apabila kehilangan bola.
"Persediaan telah dijalankan melalui latihan seperti mempercepatkan peralihan ketika menyerang serta turun bertahan bila diserang," katanya.
Jaehong memberitahu, beliau berharap seluruh 'pemain ke-12' Kelantan dapat memberikan sokongan padu kepada KDN FC pada aksi itu nanti.
"Kami akan mempamerkan persembahan yang baik di atas padang supaya penyokong yang hadir atau menyaksikan perlawanan di kaca televisyen berasa bangga dan akan terus memberikan sokongan kepada KDN FC," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, mengulas lanjut, pengendali dari Korea itu sedikit ralat kerana kehilangan perancang tengah yang juga kapten pasukan, Oday Kharoub serta bek kental, Michal Jerabek disebabkan pengantungan perlawanan.
"Malangnya, walaupun kami mencatatkan pungutan tiga mata pada perlawanan lepas, Oday serta Jerabek tidak dapat bermain dalam permainan ini kerana menerima tiga kad kuning.
"Mereka adalah pemain penting kepada kekuatan pasukan kami, tetapi ia juga adalah situasi yang tidak dapat dielakkan.
"Bola sepak bukan permainan yang dimainkan secara bersendirian. Saya rasa mana-mana pemain KDNFC boleh bermain dengan baik.
"Kami melakukan banyak latihan organisasi ofensif dan latihan organisasi defensif.
"Saya percaya pemain yang akan mengantikan mereka akan menunjukkan prestasi yang baik," katanya.
Menurut beliau, terdapat banyak kesukaran dalam memimpin pasukan, walau bagaimanapun pemain, kejurulatihan, dan pegawai pasukan KDN FC bekerja keras untuk memimpin pasukan ke arah yang baik sebelum ke Cheras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!