Polis cari pemandu lori langgar penunggang motosikal

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal terjatuh dan melanggar besi pembahagi jalan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 4.8 Lebuhraya Persekutuan pada Khamis. (Gambar kecil: S Vijaya Rao)
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal terjatuh dan melanggar besi pembahagi jalan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 4.8 Lebuhraya Persekutuan pada Khamis. (Gambar kecil: S Vijaya Rao)
A
A
A

KLANG - Polis giat mengesan pemandu lori yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 4.8 Lebuhraya Persekutuan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kemalangan jam 12.30 tengah hari itu melibatkan sebuah lori dan motosikal dari arah Shah Alam menghala ke Klang.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori tersebut mengubah haluan ke kanan dan melanggar motosikal jenis Yamaha FZ.

"Kedua-duanya datang dari arah sama dan akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh dan terlanggar besi pembahagi jalan.

"Pemandu lori tersebut masih belum tampil membuat laporan polis.

"Sehubungan itu, usaha mengesan pemandu lori terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

"Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327.

"Orang ramai juga dinasihatkan memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!