KPDN kemas kini senarai badan pensijilan halal luar negara diiktiraf Jakim
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pindaan ke atas Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menterinya, Datuk Armizan Ali berkata, pindaan itu bertujuan untuk mengemas kini senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim dalam Jadual Kedua, PerintahPerihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Jakim telah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara pada tahun 2024, masing-masing satu dari negara Brazil, Mongolia dan Uruguay manakala dua adalah dari negara Rusia," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 buah negara di seluruh dunia.
"Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober 2024 dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2024" katanya.
Jelas Armizan, berdasarkan statistik penguatkuasaan kes berkaitan halal bermula 1 Januari 2024 hingga 30 September 2024, sebanyak 53 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1.81 juta.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan penggunaan logo halal palsu, tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa dan sebagainya.
"KPDN berharap agar semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal ini.
"Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!