[VIDEO] Air pasang besar: Terpaksa berjaga malam, rumah dinaiki air

A
A
A

KUALA KEDAH - Lebih 100 rumah di Taman Sri Putra, di sini, dinaiki air susulan fenomena air pasang besar pada awal pagi Jumaat.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kediaman penduduk di taman perumahan terbabit dinaiki air setinggi 0.5 m hingga memasuki kediaman mereka.

Bagaimanapun, air yang naik bermula jam 12 tengah malam itu mula surut sepenuhnya dua jam 30 minit kemudiannya.

Antara kawasan lain turut dinaiki air termasuklah Taman Seri Pantai, Pekan Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota dan Jeti Kuala Kedah, selain Taman Sri Putra.

Menurut penduduk, Mohd Shaifuddin Shahrol Nizam, 24, dia sanggup berjaga malam disebabkan bimbang dengan fenomena air pasang tersebut.

Kawasan Pekan Kuala Kedah turut dinaiki air pasang sebelum surut pada jam 2.30 pagi. Gambar kecil: Mohd Shaifuddin dan Mariati
Kawasan Pekan Kuala Kedah turut dinaiki air pasang sebelum surut pada jam 2.30 pagi. Gambar kecil: Mohd Shaifuddin dan Mariati

"Dari jam 12 tengah malam, saya tunggu untuk melihat keadaan dan jikalau air surut sepenuhnya barulah berani hendak lena disebabkan risau air naik lebih tinggi hingga terkena barangan dalam rumah lain.

"Jadi, saya berjaga sebab takut peralatan elektrik seperti peti ais rosak walaupun dari awal menyimpan barang-barang ke tempat selamat," katanya ketika ditemui awal pagi Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata nelayan itu, dia bersyukur air yang naik di taman perumahan itu termasuklah kediamannya surut semula selepas dua jam kemudian.

Katanya, dia juga sempat mengangkat barangan penting termasuklah motosikal ke tempat lebih selamat disebabkan air naik dengan cepat.

Penduduk, Harun Abu Hassan, 48, berkata, air naik tinggi awal pagi Jumaat disebabkan fenomena air pasang besar di kawasan itu.

"Air mula naik jam 12 tengah malam dan mula memenuhi kawasan kediaman penduduk lebih kurang jam 12.30 tengah malam.

"Sekarang hendak masuk jam 2 pagi, air didapati mula surut dengan 100 rumah dinaiki air terutamanya kediaman di lorong depan," katanya.

Wan Mohd Hamizi (kiri) melakukan pemantauan di sekitar Taman Sri Putra, di sini, pada awal pagi Jumaat.
Wan Mohd Hamizi (kiri) melakukan pemantauan di sekitar Taman Sri Putra, di sini, pada awal pagi Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Mariati Mansor,52, memaklumkan, hujan dan fenomena air pasang menyebabkan air laut didapati naik dengan cepat ke dalam kawasan rumah.

Menurutnya yang bekerja di sebuah kedai makan, air naik hingga paras 0.3 m hingga memenuhi bahagian dalam rumahnya dari ruang tamu hinggalah ke bahagian dapur.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik apabila telah membuat persediaan termasuklah meletakkan perabot dan almari di atas bata.

"Cumanya, kali ini teruk sikit sebab air naik dengan selut, dua tiga tahun lepas pernah air naik tinggi seperti ini dan ia berulang kembali kali ini.

"Alhamdulillah, kami sempat angkat semua barang dan letak bata bawah peti ais dan mesin basuh supaya ia tidak tenggelam," katanya.

Katanya, dia sekeluarga sememangnya bimbang sekiranya berlaku air pasang lebih besar seperti dijangka dalam tempoh tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin turut melakukan tinjauan dan pemantauan air pasang di sekitar kawasan Kuala Kedah, di sini.

Beliau menambah, pihaknya mendapati memang berlaku kenaikan paras air di beberapa kawasan agak rendah berdasarkan pemantauan di sekitar kawasan Kuala Kedah pada jam 1 pagi.

Wan Mohd Hamizi berkata, air didapati naik berikutan fenomena air pasang setinggi 3.0 m, bagaimanapun keadaan masih terkawal.

"Kita dapati keadaan masih lagi terkawal walaupun ada sedikit kenaikan paras air di kawasan ini," katanya.

"Kita telah gerakkan 20 balai yang berhampiran di kawasan yang berisiko untuk membuat pemantauan air pasang besar dan ia termasuk lima kawasan berisiko termasuklah Kota Setar, Kubang Pasu, Yan, Langkawi dan Kuala Muda," katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat memandangkan air pasang dijangka berlaku semula pada tengah malam Sabtu dan Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!