Hubbul Watan Memacu Malaysia Madani
Konsep cinta tanah air digarap dalam Program Dakwah Negara 2024 (PDN24) yang mempunyai sejarah panjang di bawah kendalian YADIM
YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM) terus memperkukuhkan peranannnya sebagai peneraju gerakan dakwah di negara ini dengan pelaksanaan Program Dakwah Negara (PDN) dan ia merupakan satu usaha menyeluruh yang telah dimulakan sejak tahun 1978.
PDN24 kali ini, YADIM membawakan tema Hubbul Watan Memacu Malaysia Madani menggabungkan konsep cinta kepada tanah air (hubbul watan) dengan aspirasi membina masyarakat Malaysia Madani yang sejahtera, beradab dan berlandaskan nilai-nilai keadilan serta kemanusiaan.
Dalam konteks ini, dakwah tidak hanya tertumpu kepada penyebaran agama Islam, tetapi turut memupuk rasa cinta kepada negara melalui nilai-nilai Islam.
Ini termasuk menyeru kepada perpaduan, kesetiaan dan kerjasama antara rakyat bagi membina negara yang harmoni dan makmur.
Dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar pada Ogos lalu, sebanyak 50 program utama dirancang dalam PDN24 sepanjang Ogos hingga Oktober tahun ini merangkumi 500 program secara keseluruhannya.
Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk seminar, ceramah dan aktiviti kemasyarakatan di seluruh pelosok tanah air.
Sejarah panjang, Bulan Dakwah diperkenalkan YADIM
Menyelusuri sejarah PDN, pada peringkat awal ia diperkenalkan sebagai Bulan Dakwah pada 22 Januari 1978 selepas YADIM membentangkan kertas kerja di Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Agama Islam di Kuching, Sarawak.
Ketika itu, Bulan Dakwah dilancarkan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pada 1 Disember 1978 di Parlimen Kuala Lumpur yang menandakan bermulanya usaha dakwah berskala besar di seluruh negara.
Antara program yang terawal dilaksanakan termasuk Pameran Bulan Dakwah, Seminar Perundangan Islam serta Seminar Islam dan Keselamatan Negara.
Sejak itu program tersebut melalui fasa penting dalam usaha memupuk penghayatan agama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada 2009, ia dijenamakan semula dengan tema Dakwah Pemangkin Ummah dan dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Program ini memperkenalkan pelbagai aktiviti menarik seperti kembara bermotosikal, ceramah, tazkirah dan karnival halal yang semuanya bertujuan mendekatkan dakwah kepada masyarakat umum.
Ditukar Program Dakwah Negara selepas diperkenankan
Namanya kemudian ditukar dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-23 pada 27 Februari 2014 apabila Majlis Raja-Raja bersetuju selepas mengambil maklum kertas kerja penganjuran Bulan Dakwah Negara 2014 dan mencadangkan pertukaran namanya kepada PDN.
Perubahan besar seterusnya berlaku pada tahun itu apabila program ini sekali lagi diubah suai menjadi lebih dinamik dengan tema Kasih Sayang Disemai, Perpaduan Dituai, yang memberi tumpuan kepada perpaduan melalui kasih sayang sesama masyarakat.
Ketika itu ia dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selain diperkenalkan Anugerah Dakwah Negara, Anugerah Keluarga Mithali dan Karnival Hijrah.
Tema Melestarikan Gerakan Dakwah dipilih untuk PDN pada tahun 2020 dan inovasi terus diperkenalkan melalui program Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti Sirah Al-Nabawiyyah Al-Rahiq Makhtum dan Konvensyen Dakwah Negara. Ia dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu.
Dengan sejarah yang panjang dan pelbagai pembaharuan diperkenalkan masa demi masa, YADIM terus komited memperkasakan dakwah melalui PDN demi membina masyarakat yang harmoni dan berlandaskan prinsip Islam.
***Artikel disediakan YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!