Pasaran halal luas di Laos

Potensi besar untuk diteroka pelabur Malaysia di sana

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos baru-baru ini. Foto BERNAMA
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos baru-baru ini. Foto BERNAMA
A
A
A

PELABUR Malaysia perlu merebut peluang pelaburan di Laos berikutan negara yang juga dikenali sebagai 'Tanah Sejuta Gajah' itu mempunyai potensi yang besar dalam sektor tenaga hidro, semikonduktor, pengangkutan, elektronik, logistik dan pasaran halal.

Presiden Malaysia Business Chamber Laos (MBCL), Tee Chee Seng menggesa syarikat Malaysia untuk meninjau potensi yang luas dan berkembang pesat di negara ini.

"Mereka boleh menceburi banyak sektor pelaburan terutamanya di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas yang terletak di sepanjang Sungai Mekong,” katanya, sambil menambah Malaysia kini merupakan rakan dagang keempat terbesar Laos.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di ibu negara Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

CHEE SENG
CHEE SENG

Chee Seng berkata, sepanjang 16 tahun berada di sini, Laos telah melaksanakan perubahan yang ketara, terutamanya dalam infrastruktur. Ia kini mempunyai rangkaian pengangkutan darat dan udara yang lebih kukuh.

"Terdapat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Vientiane manakala rangkaian kereta api dari Malaysia membuka lebih banyak peluang import dan eksport ke China dan Eropah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Chee Seng menjelaskan perkhidmatan kereta api kargo yang baru dilancarkan dan menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos serta China dijangka membuka pasaran baharu dengan kos lebih rendah di rantau ini.

Mengenai sektor halal, Chee Seng berkata dewan perniagaan itu menjalin kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Vientiane untuk mendapatkan pensijilan halal daripada JAKIM bagi produk pertanian Laos agar dapat memasuki pasaran yang luas di Malaysia dan China.

Beliau berharap mesyuarat ASEAN di ibu negara Laos kali ini menjadi platform kepada dewan perniagaan itu untuk menarik lebih ramai pelabur ke Laos.

"Melalui Laos, kita dapat menembusi pasaran yang luas, sehingga ke China dan Eropah. Oleh itu, ia merupakan peluang yang baik untuk pelabur Malaysia datang dan menjalankan perniagaan di sini,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!