Bapa buat laporan palsu 4 anak hilang direman tujuh hari
ISKANDAR PUTERI - Seorang bapa direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengenai laporan palsu berhubung kehilangan empat orang anaknya, semalam.
Perintah reman itu dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Mohamad Ridhwan Syarizal, pada Jumaat.
Suspek lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu pada mulanya membuat laporan polis mengenai kehilangan empat anaknya berusia dua hingga lapan tahun di kawasan Mutiara Rini, di sini.
Bagaimanapun, tindakan suspek memakan diri, apabila diberkas pihak polis setelah suspek gagal menunjukkan lokasi sebenar kehilangan anak-anaknya itu.
Selain keterangan itu keterangan-keterangan daripada suspek juga didapati mencurigakan.
Hasil siasatan pihak polis kemudiannya mendapati kesemua anaknya itu sebenarnya berada di rumah isteri suspek dalam keadaan selamat.
Siasatan lanjut mendapati suspek dikatakan sering mengabaikan anak-anaknya yang masih kecil itu.
Suspek juga mempunyai hutang dengan pihak lain menyebabkan suspek membuat laporan palsu, kerana khuatir anak-anaknya diganggu akibat gagal melunaskan hutang tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak, serta Seksyen 182 Kanan Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!