Malaysia teroka peluang kerjasama baharu dalam sektor halal dengan Kanada

PASARAN halal di Kanada bernilai RM3.1 bilion menawarkan potensi besar kepada pengeluaran Malaysia, terutamanya produk makanan dan minuman. - Tengku Zafrul/Foto BERNAMA
PASARAN halal di Kanada bernilai RM3.1 bilion menawarkan potensi besar kepada pengeluaran Malaysia, terutamanya produk makanan dan minuman. - Tengku Zafrul/Foto BERNAMA
A
A
A

MALAYSIA melihat peluang untuk meneroka kerjasama baharu dalam sektor halal dengan Kanada, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dengan lebih 1.15 juta penduduk Muslim di Kanada, permintaan terhadap produk halal semakin meningkat, katanya.

Tengku Zafrul yang turut hadir dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatan beliau dari Kanada, Justin Trudeau semalam berkata pasaran halal Kanada yang bernilai C$1 bilion (RM3.1 bilion) menawarkan potensi besar kepada pengeluar Malaysia, terutamanya dalam produk makanan dan minuman.

"Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran ini melalui kerjasama strategik dan peningkatan pelaburan dalam industri halal, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri global ini,” katanya.

Pada pertemuan yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Laos, Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri menekankan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor ekonomi.

Beliau berkata kerjasama ekonomi antara Malaysia-Kanada semakin kukuh dengan perdagangan dua hala mencecah RM8.05 bilion setakat Ogos lepas, meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, selepas Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perdagangan dua hala meningkat sebanyak 25 peratus, dengan perjanjian ini membuka akses bebas duti bagi perdagangan barangan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, peningkatan ini dipacu oleh kenaikan eksport Malaysia ke Kanada sebanyak 68.1 peratus dan import dari Kanada sebanyak 16.8 peratus. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!