193 sindiket dadah berjaya ditumpaskan

Razarudin (tengah) memberi tabik hormat pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Foto: PDRM.
Razarudin (tengah) memberi tabik hormat pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto: PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan 193 sindiket dadah bermula awal tahun ini sehingga September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi tempoh sama, PDRM juga berjaya menahan seramai 612 orang ahli sindiket terlibat.

Beliau berkata, secara perbandingan terdapat penurunan bagi tempoh sama pada 2023 apabila merekodkan sejumlah 245 sindiket ditumpaskan dan seramai 791 orang ahli sindiket berjaya ditangkap.

Dari aspek rampasan pula, kata beliau, dalam operasi yang dijalankan bermula Januari hingga September 2024, sejumlah 8,996.1 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 4,749.05 liter pelbagai jenis cecair dadah berjaya dirampas.

Selain itu katanya, sejumlah 39,105.37kg daun ketum dan 43,499.85 liter air ketum telah berjaya dirampas sehingga September lalu.

"Secara keseluruhan, jumlah rampasan tersebut telah berjaya menyekat penggunaan dadah kepada seramai 44.98 juta orang pengguna," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam majlis tersebut, Razarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 40 orang pegawai polis dan pegawai awam yang telah mempamerkan prestasi perkhidmatan cemerlang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razarudin turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga JSJN atas kejayaan melumpuhkan lima sindiket dadah yang beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kelantan sepanjang tempoh dua minggu lalu bermula 1 hingga 12 Oktober.

Menurut beliau, menerusi operasi dan serbuan dijalankan dalam operasi tersebut, seramai 13 ahli sindiket berjaya diberkas dan merampas sejumlah 1,418 kg dadah bernilai RM75 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!