Tipu tuntutan PERKESO, 37 individu akan dituduh bulan depan

Azam (kiri) dan Mohammed Azman pada Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM bersama PERKESO di Menara Perkeso, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Azam (kiri) dan Mohammed Azman pada Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM bersama PERKESO di Menara Perkeso, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 37 individu termasuk enam doktor yang ditahan menerusi Op Tunjang selepas dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka dituduh di mahkamah bulan depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan dibuka susulan tangkapan itu.

"Setiap individu yang ditahan ada kertas siasatan dibuka dengan setiap daripadanya ada saksi tersendiri. Malah, setiap kertas siasatan, ada seorang pegawai penyiasat ditugaskan untuk melengkapkan siasatan.

"Justeru itu, kami menjangkakan kertas siasatan kes ini akan selesai pada November supaya suspek terbabit boleh didakwa di mahkamah," katanya dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM bersama PERKESO di Menara Perkeso di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, meskipun tiada tangkapan susulan dibuat dalam operasi berkenaan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PERKESO untuk mengesan jika ada aktiviti seumpama itu dijalankan.

Katanya, sebelum ini, tujuh operasi utama bersama PERKESO dilaksanakan di enam negeri.

"Berdasarkan operasi itu, kami mendapati sindiket ini tidak serik-serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mereka akan mengubah modus operandi lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).

"Kami menjalinkan kerjasama dengan SPRM bagi meningkatkan tatakelola berlandaskan beberapa kes yang dikenal pasti menerusi penahanan 37 individu terbabit penipuan tuntutan PERKESO.

"Dari semasa ke semasa, kami akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di agensi ini bagi menutup ruang kepada salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu.

"Kami akan pastikan tuntutan palsu yang dibuat akan melalui proses penyiasatan termasuk membabitkan pihak SPRM yang tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi juga beberapa negeri lain," katanya.

Pada 4 September lalu, Azam memaklumkan kerugian daripada tuntutan palsu dibuat oleh kumpulan kartel penipuan itu berjumlah kira-kira RM2.1 juta sejak 2017.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!