Selangor fatwa GISBH sesat, pengikut perlu bertaubat

A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya difatwa haram.

Perkara itu disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada Rabu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kumpulan itu mempunyai elemen-elemen menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

Menurutnya, berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

"Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman yang diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada ALLAH SWT.

"Sementara pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, masyarakat Islam di Selangor dinasihatkan menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, mereka yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dalam pada itu katanya, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

"Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling.

"MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini," katanya.

Tegasnya, program pemulihan itu adalah selaras dengan fatwa yang telah diwartakan.

"Justeru, MAIS mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan ini.

" Pada masa ini, MAIS dan agensi Islam di Selangor menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dan negeri.

Rujukan penuh berkaitan fatwa yang diwartakan boleh didapati di https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-selangor/

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!