Pulau Pinang isytihar GISBH sesat

Mohamad (dua dari kanan) bersama Mohd Sukki (kanan) dan Marzuki (dua dari kiri) menunjukkan kenyataan media mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Mohamad (dua dari kanan) bersama Mohd Sukki (kanan) dan Marzuki (dua dari kiri) menunjukkan kenyataan media mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut pekerja atau jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) difatwakan sesat.

Ia menjadikan Pulau Pinang negeri keenam yang memutuskan bahawa pegangan dan fahaman kumpulan itu menyeleweng, haram dan bercanggah daripada ajaran Islam.

Oleh itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman serta amalan tersebut dengan segera.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, GISBH dan rangkaiannya didapati masih meneruskan pegangan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd (SRC).

Menurutnya, keputusan itu telah dibincangkan di dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 yang diadakan pada 24 hingga 26 September lalu.

"Keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersandarkan kepada maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di Pulau Pinang yang diperolehi daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

"GISBH didapati menyebar secara meluas daripada sudut akidah, antaranya meyakini bahawa Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul kembali.

"Fahaman ini adalah sama dengan ajaran Abuya, pengasas Darul Arqam dan kononnya bakal muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JHEAIPP di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan Pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan.

Tambah beliau, daripada sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.

"Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

"Diharamkan mengajar, menyebar, mengembangkan atau menyokong fahaman, ajaran seumpama ini.

"Orang Islam diharamkan menjadi pengikut atau mengisytiharkan diri, berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya," katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyiar, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan ajaran itu juga adalah haram.

"Mengajar, menyeru, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau aktiviti juga adalah haram.

"Bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela," katanya.

Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa itu akan diwartakan secepat mungkin bagi membolehkan penguatkuasa agama menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang.

"Keputusan ini juga akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk diperkenankan," katanya.

Mengulas mengenai premis milik GISBH di negeri ini, Mohamad berkata, empat premis perniagaan milik syarikat tersebut telah ditutup sepenuhnya selain tiada institusi pendidikan melibatkan kumpulan itu di Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!