Awas, calon PRK Cameron Highlands dipantau!

Zainul (tengah) menunjukkan alamat dan nombor telefon Bilik Gerakan SPRM pada sidang media bersama-sama dua timbalan pengarahnya, Rosley Mohamad Satar (kiri) dan Ahmad Shukri Mohamad
Zainul (tengah) menunjukkan alamat dan nombor telefon Bilik Gerakan SPRM pada sidang media bersama-sama dua timbalan pengarahnya, Rosley Mohamad Satar (kiri) dan Ahmad Shukri Mohamad
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat penyamaran sepanjang berlangsungnya PRK Parlimen Cameron Highlands.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya akan menempatkan pegawai-pegawainya di beberapa lokasi sekitar Cameron Highlands untuk memantau aktiviti berkaitan PRK seperti ceramah dan sebagainya.

Menurutnya, sehubungan itu juga, SPRM akan membuka dua Bilik Gerakan iaitu di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya dan di CH Merlin Inn, Jalan Tanah Perdah, Tanah Rata, Cameron Highlands bagi menerima aduan daripada orang ramai.

"Bilik Gerakan ini akan dibuka selama 24 jam di mana kita akan menerima apa sahaja maklumat berkaitan dengan kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2012).

"Saya mohon kepada masyarakat di sekitar Cameron Highlands atau mereka yang terlibat dalam PRK ini untuk menyalurkan apa sahaja maklumat berkaitan kesalahan-kesalahan yang disebutkan ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya, di sini.

Zainul berkata, Bilik Gerakan SPRM itu akan mula dibuka esok dengan menempatkan lima pegawai di setiap bilik gerakan.

Menurutnya, bilik gerakan itu juga akan turut dikongsi bersama agensi lain seperti polis dan Jabatan Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada gambar, rakaman dan sebagainya boleh salurkan maklumat kepada SPRM atau memadai dia melihat perkara tersebut berlaku dan beritahu kepada SPRM. Tak semestinya datang ke pejabat, boleh hubungi nombor telefon, faks atau emel.

"Saya nasihatkan individu yang ingin membuat laporan supaya memaklumkan identiti mereka bagi memudahkan SPRM berhubung jika ada maklumat lanjut yang ingin diperoleh," katanya.

Dalam pada itu, Zainul berkata, pihaknya sudahpun menerima beberapa maklumat daripada orang ramai berkaitan kesalahan pilihan raya sebelum Bilik Gerakan SPRM ini dibuka.

Katanya, aduan yang diterima berkaitan Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2012) seperti buat jamuan, beri sumbangan dan sebagainya.

"Kita akan tengok sama ada berlaku unsur rasuah atau sebaliknya. Tak semestinya bagi makan itu satu kesalahan.

"Kesemua aduan dan maklumat yang diterima ini akan diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi nombor telefon 05-5267000 atau faks ke nombor 05-5261214 atau emel ke prk@sprm.gov.my, manakala di Cameron Highlands pula boleh hubungi 019-6002041.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!