MUSA intai khidmat pemain naturalisasi

DAMIAN. Foto: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA)
DAMIAN. Foto: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA)
A
A
A

Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berminat untuk mendapatkan khidmat seorang pemain naturalisasi bagi memantapkan lagi barisan pertahanan pada kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li berkata, ketika perlawanan persahabatan pramusim di Indonesia baru-baru, tiga pemain berjaya mencuri perhatian iaitu dua pemain naturalisasi Indonesia yang berasal dari Afrika Selatan dan seorang pemain Eropah yang memiliki kerakyatan Thailand.

Difahamkan, pengambilan pemain naturalisasi berkenaan adalah bagi memenuhi kuota pemain import ASEAN.

Damian yang enggan mendedahkan nama pemain terbabit berkata, apa yang penting adalah pemain itu dapat membentuk kombinasi yang baik dengan awang import sedia ada - Jang Suk-won untuk memastikan benteng pertahanan skuad Hang Tuah lebih ampuh.

“Jang adalah benteng kukuh pasukan kita musim lepas, pembelian yang berbaloi kepada kita dan saya berharap dapat mencari rakannya untuk membantu memperkukuhkan barisan pertahanan. Pemain baharu itu mungkin berperanan di tengah benteng ataupun sweeper.

“Kita akan menilai input menerusi perlawanan persahabatan di Indonesia dan penilaian ketua jurulatih Zainal (Abidin Hassan) sebelum memuktamadkan pemilihan,” katanya.

Selain Suk-won, Melaka United turut menagih sentuhan khidmat tiga lagi pemain import - Romel Morales dari Colombia, Sony Norde (Haiti) dan penyerang dari Nigeria Uche Agba bagi saingan musim ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!