[VIDEO] Empat lelaki didakwa samun 16.9kg jongkong emas RM5.9 juta

A
A
A

PETALING JAYA – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menyamun menggunakan parang, dengan merompak jongkong emas seberat 16.9 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta bulan lalu.

Mekanik, Aziz Ahmad Noor, 38; penyelenggara pendingin hawa, B Krishore Raam, 30 dan dua penganggur, Shah Harizie Zainal, 39, serta Mohamad Afiq Jamal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dua individu yang telah dituduh didakwa menyamun secara berkumpulan menggunakan parang dengan merompak jongkong emas iaitu harta dalam kawalan seorang tukang proses emas berusia 22 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah kilang di Kompleks Industri Puchong, di sini pada jam 11 pagi, 13 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Seksyen 395 kanun itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 397 kanun sama membawa hukuman sebat, selain hukuman yang boleh dikenakan dibawah Seksyen 395 kanun itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzati Rozman tidak mencadangkan semua tertuduh diberi ikat jamin dengan mengambil kira keseriusan kes.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ada kemungkinan semua tertuduh akan melarikan sekiranya dilepaskan dengan jaminan.

“Jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk menawarkan ikat jamin, saya mencadangkan jaminan bagi setiap tertuduh dikenakan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, tidak boleh mengganggu saksi, melaporkan diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, sehingga prosiding ini selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amirul Mukminin yang mewakili Aziz dan Krishore Raam, merayu agar dua guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Aziz perlu menyara isteri yang mengandung tiga bulan sementara Krishore Raam menanggung ibu berusia 59 tahun bersama isteri yang juga seorang suri rumah dan seorang anak berusia sembilan tahun,” katanya yang hadir bersama peguam, Datin Raj Preet Kaur.

Shah Harizie dan Mohamad Afiq yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Syahliza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 November depan.

Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 35 tahun, diburu untuk siasatan kes samun jongkong emas milik syarikat pedagang.

Menurutnya, mangsa telah dipukul selain diacu parang sebelum suspek lain mengambil beg berisi jongkong emas itu, yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan syarikat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!