Johan tilawah al-Quran mahu buka kelas taranum, tahsin
KUALA TERENGGANU - Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2024 menyimpan hasrat untuk memanfaatkan ilmu yang dimiliki dengan membuka kelas taranum dan tahsin al-Quran.
Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, berkata, impian itu ingin direalisasikan bagi melahirkan lebih ramai golongan muda yang mendalami pelbagai cabang al-Quran sebagai panduan hidup.
Menurutnya, ilmu al-Quran perlu diangkat serta disebarkan kepada lebih ramai golongan terutama anak muda sebagai perisai dalam mendepani kehidupan yang semakin mencabar ketika ini.
"Kemenangan yang diraih ini menguatkan lagi motivasi saya untuk merealisasikan impian ini.
"Insya-ALLAH, saya akan memanfaatkan ilmu yang ada untuk terus berkongsi dengan orang ramai yang berminat mendalami al-Quran," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Nor Hidayah yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Yayasan Islam Terengganu (YIT) berkata, kemenangan yang diraih baru-baru ini merupakan hasil dorongan dan sokongan oleh kedua ibu bapanya iaitu Abd Rahman Omar, 74 dan Lijah Othman, 68.
"Saya mendedikasikan kemenangan ini buat kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong saya dalam apa sahaja pertandingan tilawah al-Quran yang saya sertai sejak berusia sembilan tahun.
"Mereka berdua adalah guru al-Quran pertama saya dan terlalu banyak berkorban selama ini.
"Selepas ini, saya akan terus bertalaqqi dan tambah baik ilmu al-Quran dalam semua aspek iaitu taranum, tajwid, fasohah dan suara," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.
Anak kelahiran Setiu itu muncul johan sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 selepas mengumpul markah 91.76 peratus, diikuti peserta Filipina Raihana Ambangala di tempat kedua (90.26 peratus) dan Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46 peratus).
Pertandingan ajuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan.
Pertandingan itu turut menyaksikan Muhammad Husaini Mahmur sebagai pemenang dalam kategori qari selepas meraih markah 95.71 peratus, manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09 peratus).
Kedua-dua johan menerima kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai daripada kerajaan Malaysia berjumlah RM40,000, hadiah iringan dan sijil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!