Tindakan tegas premis ingkar syarat papan tanda bahasa kebangsaan

Premis perniagaan diingatkan menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda premis.
Premis perniagaan diingatkan menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda premis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan pemilik perniagaan mematuhi peraturan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama pada papan tanda premis.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 dan Garis Panduan Pelesenan 2023.

Menurutnya, peruntukan di bawah undang-undang itu menyatakan semua papan tanda iklan premis hendaklah dalam bahasa kebangsaan sementara bahasa lain boleh digunakan dengan syarat bahasa kebangsaan diberi keutamaan dari segi saiz dan kedudukan.

"Jika jenama syarikat telah didaftarkan di bawah akta-akta berkaitan seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, maka ia tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kelulusan papan tanda iklan merupakan sebahagian daripada kelulusan lesen komposit yang meliputi lesen premis perniagaan.

"Setiap permohonan perlu diproses melalui sistem E-Lesen DBKL dan wajib memenuhi dokumentasi serta syarat yang ditetapkan DBKL.

"Antara syarat penting ialah penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dengan pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Selain itu, keutamaan diberikan kepada saiz huruf bahasa kebangsaan yang lebih besar berbanding bahasa lain, seperti yang ditetapkan di bawah UUK 3(2)," jelasnya

Artikel Berkaitan:

Ujar kenyataan itu, setakat Januari hingga 16 Oktober lalu, sebanyak 20 notis kesalahan dan sepuluh notis penguatkuasaan telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan.

Selain itu katanya, satu notis kesalahan di bawah UUK 3(2) telah dikeluarkan kerana penggunaan bahasa asing yang lebih besar daripada bahasa kebangsaan.

"DBKL juga telah mengeluarkan 211 notis kesalahan di bawah UUK 5(1) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen sah.

"Lokasi yang telah dikenakan tindakan termasuk Jalan Manjalara Idaman 3, Jalan Kampung Atap, Jalan Imbi, Jalan Prima 2, Jalan Kuchai dan Jalan Sri Petaling," katanya.

Justeru katanya, semua pemilik perniagaan digesa wajib mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan identiti bahasa kebangsaan terpelihara dan persekitaran bandar yang teratur.

"Pada masa sama, DBKL konsisten melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan sepenuhnya.

"Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan yang sewajarnya tanpa kompromi," katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna TikTok mendedahkan banyak premis sekitar Jalan Imbi, Bukit Bintang dimeriahkan dengan papan tanda tulisan Cina seolah tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Susulan itu, DBKL menerusi tindakan penguatkuasaan dijalankan memberikan tempoh 14 hari terhadap lima premis makanan di sana untuk menurunkan papan tanda iklan tulisan Cina tersebut.

Kesemua premis itu melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan bahasa kebangsaan di papan iklan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!