Jual minyak masak lebih 20 sen, peniaga didenda RM10,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang peniaga barangan runcit didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan semalam atas pertuduhan menjual minyak masak melebihi harga kawalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Rasina Mohamed Ajmul Khan, 34, boleh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Wanita itu didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2023 iaitu menjual minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol berkapasiti dua kilogram dengan harga RM13.50 melebihi harga runcit maksimum iaitu RM13.30.

"Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 2.30 petang pada 27 Mac lepas di Kompleks Menara Condong di Teluk Intan.

"Tindakan kes diambil hasil Ops Samar yang dilaksanakan oleh anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan yang melibatkan penjualan barang berjadual minyak masak," menurut kenyataan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!