Pengurus Besar PPK Gerik didakwa buat tuntutan palsu

Mohd Fuad didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,130.20, lima tahun lalu.
Mohd Fuad didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,130.20, lima tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fuad Omar, 40, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan PPK Gerik, satu invois bertarikh 30 September 2019 atas nama sebuah syarikat berjumlah RM1,950 bagi bayaran penyelenggaran kenderaaan pejabat jenis Toyota Hilux.

Lelaki itu mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran matan yang palsu yang mana dokumen asal adalah invois atas nama dan tarikh sama adalah berjumlah RM288.30.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa mengemukakan dokumen kewangan atas nama sebuah syarikat bertarikh 11 September 2019 berjumlah RM1,155.20 bagi pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran matan yang palsu iaitu dokumen asal atas nama syarikat dan tarikh sama adalah berjumlah RM167.60 dan ia bertujuan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan, secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran tersebut yang dipercayainya adalah palsu.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat PPK Gerik pada September 2019.

Pegawai Pendakwa Mohd Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Tertuduh yang diwakuli peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh yang menghidap diabetes merupakan penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan bulanan RM4,600.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Kes disebut semula pada 14 November depan untuk serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!