Persiapan perkahwinan musnah akibat banjir
SABAK BERNAM - Persiapan perkahwinan seorang wanita musnah akibat banjir yang melanda Kampung Tanjung Medan, Sungai Panjang di sini akibat fenomena air pasang besar pada Jumaat.
Salmi Md Noor, 59, berkata, barangan persiapan perkahwinan dan tujuh hantarannya kepada pihak lelaki rosak akibat banjir setinggi 0.4 meter.
Salmi berkata, kejadian banjir kali ini disifatkan paling buruk pernah berlaku sepanjang menetap di kampung itu sejak lahir.
"Banjir memang tidak dijangka sebab air naik dalam sekelip mata kira-kira jam 8.30 pagi tadi (Jumaat).
"Saya terkejut apabila air tiba-tiba naik di bahagian dapur dan kemudian melimpah masuk ke keseluruhan rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Salmi memberitahu, dia tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suaminya pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, ibu tiga anak itu memberitahu, dia bakal disatukan dengan lelaki pilihan pada Sabtu depan.
"Saya harap banjir kembali surut sebab minggu depan saya akan mengadakan majlis kenduri kahwin di rumah ini," katanya.
Jirannya, Khatijah Lampam, 72, berkata, air naik terlalu cepat dan dia bersama suaminya, Safar Arif, 60, hanya sempat memindahkan barang dan dokumen penting.
Khatijah berkata, keseluruhan rumahnya dimasuki air dan masih terkejut dengan kejadian berkenaan.
"Rumah kami berdekatan dengan Sungai Bernam, jadi air naik dengan cepat pagi tadi (Jumaat) dan bimbang air naik lagi petang ini," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Aminah Lampam, 67, berkata, kejadian banjir melanda rumahnya hanya diketahui selepas salah seorang kakaknya menghubunginya semasa berada di Kajang.
"Saya tiada sebab berada di rumah anak dan sebaik sampai terkejut rumah sudah digenangi air.
"Biasa memang saya tinggal di sini (Tanjung Medan), tetapi bermalam di rumah anak sebab perlu jalani pemeriksaan jantung di Hospital Serdang," katanya
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani turut meninjau dan melakukan pemantauan di Kampung Tanjung Medan.
Beliau memberitahu, banjir berlaku akibat fenomena air pasang besar pada kira-kira jam 5.30 pagi Jumaat hingga menyebabkan Sungai Bernam melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
Katanya, kejadian itu menyebabkan seramai 44 mangsa daripada 16 keluarga di kampung itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya sejak jam 12 tengah hari.
"Kami akan meneruskan pemantauan di lokasi kejadian terutama gelombang ini akan berterusan sehingga Ahad ini," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!