Polis siasat kes wanita buat kecoh di stesen minyak

Tangkap layar rakaman video memaparkan seorang wanita membuat kecoh di sebuah stesen minyak di Saujana Utama, Sungai Buloh pada Khamis.
Tangkap layar rakaman video memaparkan seorang wanita membuat kecoh di sebuah stesen minyak di Saujana Utama, Sungai Buloh pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis menyiasat kes kekecohan di sebuah stesen minyak di Saujana Utama di sini membabitkan seorang wanita yang didakwa menyerang individu lain menggunakan sebatang buluh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan kejadian itu diterima Balai Polis Saujana Utama pada jam 10.36 malam Khamis oleh penyelia stesen minyak terbabit.

Menurutnya, laporan itu menyatakan kira-kira jam 7.50 petang, datang sebuah kereta dipandu wanita yang diparkir di belakang sebuah kenderaan lain dan menyebabkan pemiliknya tidak boleh keluar.

"Pada masa sama, terdapat pelanggan lain berada di situ meminta pemandu wanita itu mengalihkan kenderaannya, namun telah dimarahi.

"Akibat itu, berlaku kekecohan selepas wanita itu dikatakan cuba menyerang pelanggan terbabit dengan menggunakan sebatang buluh, namun dihalang orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hadir ke mana-mana balai berhampiran.

"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor A Aruneswaari di talian 012-6972996," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular beberapa rakaman video memaparkan tindakan seorang wanita yang membuat kecoh di sebuah stesen minyak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!