Belanjawan 2025: Anwar menuju ke Parlimen
Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyertai bacaan doa yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam MoF, Mohamad Zukrillah Ismail di lobi utama Perbendaharaan Malaysia.
Turut hadir, Menteri Kewangan II; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri; Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar turut membawa beg fail hitam bermotifkan tenunan songket Kelantan yang mengandungi teks ucapan Belanjawan 2025.
Ketika ditanya sama ada belanjawan kali ini memberi berita baik buat golongan M40, Anwar hanya mengangkat ibu jari tanda bagus sambil tersenyum.
Tumpuan utama Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan Mensejahtera Rakyat merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.
Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sebelum ini, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia Madani' membabitkan peruntukan RM388.1 bilion.
Pada Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' pula memperuntukkan RM303. 8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!