KDA FC berjuang dengan rasa duka lawan Terengganu

Biarpun berdepan dengan masalah gaji, pemain KDA FC tetap turun berlatih sebagai seorang pemain profesional bagi persiapan menghadapi Terengganu pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
Biarpun berdepan dengan masalah gaji, pemain KDA FC tetap turun berlatih sebagai seorang pemain profesional bagi persiapan menghadapi Terengganu pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
A
A
A

TERENGGANU FC dilihat mempunyai kelebihan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saingan Liga Super 2024-2025 apabila turun beraksi di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.

Kemelut kewangan yang dihadapi oleh Sang Kenari sedikit sebanyak bakal mengganggu tumpuan para pemainnya untuk berdepan Sang Penyu yang kini berada di kedudukan ketiga Liga Super.

Menurut sumber, walaupun berdepan dengan masalah gaji, pemain KDA FC tetap turun berlatih sebagai seorang pemain profesional namun masalah berkenaan sedikit-sebanyak tetap memberikan kesan kepada semangat mereka.

“Pemain Kedah bermain dengan rasa duka menentang Terengganu (pada malam Sabtu), sebab mengharapkan gaji masuk.

“Sesi latihan pun pada minggu ini sahaja semua pemain turun kerana masing-masing ada masalah peribadi tersendiri. Mereka perlu membuat kerja sambilan yang boleh mendapatkan pendapatan bagi menampung kehidupan masing-masing,” katanya pada Jumaat.

KDA FC kini berada pada tangga ke-11 selepas mengharungi 10 perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.

Jelas sumber berkenaan, persiapan rapi masih gagal dilakukan dengan sebaik mungkin kerana para pemain juga dilihat dalam keadaan yang kurang bersemangat kerana perlu menyelesaikan banyak perkara disebabkan masalah kewangan.

Menurutnya lagi, para penyokong setia KDA FC diharapkan dapat turun memenuhi Stadium Darul Aman untuk memberikan semangat kepada pemain dan secara tidak langsung dapat membantu sumber kewangan kelab.

Artikel Berkaitan:

“Pemain profesional dan mereka turun juga sebab dah menjadi tugas mereka kerana ada perlawanan dan pemain perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan ini.

“KDA FC perlu berdepan tiga aksi Liga Super pada Oktober dan dua aksi pada November. Jarak antara lima perlawanan ini agak dekat,” ujarnya.

Tambahnya, beliau berharap kesediaan kerajaan Kedah untuk membantu KDA FC menerusi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan membawa khabar gembira terutamanya dalam mengembalikan semula semangat pemain untuk kembali berjuang pada tahap terbaik.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah akan mempertimbangkan untuk membantu KDA FC yang masih berdepan kemelut tunggakan gaji yang didakwa memasuki tujuh bulan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan menerusi KFA.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya meminta pengurusan KDA FC mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.

Perkara berkenaan mendapat maklum balas balas daripada pemilik majoriti saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri.

Kelab tersebut telah menghantar surat rasmi berhubung kunjungan hormat kepada Muhammad Sanusi melalui serahan tangan dan emel kepada Pejabat Menteri Besar Kedah pada Rabu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!