Belanjawan 2025 belanjawan rakyat - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dari Kementerian Kewangan ke Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dari Kementerian Kewangan ke Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belanjawan 2025 bukan Belanjawan Kementerian Kewangan (MoF) semata-mata.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belanjawan kali ketiga oleh Kerajaan Madani itu merupakan belanjawan rakyat.

"Saya ingin merangkul seluruh kekuatan rakyat sepertimana yang pernah saya lontarkan sebelum ini bahawa tidak pernah kita punyai kesempatan terbaik untuk melakar agenda memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat seperti yang kita saksikan sekarang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurutnya, negara harus terkenal dengan contoh tatakelola yang baik, pimpinan yang punya nilai dan yang tidak menggunakan kuasa serta kedudukan untuk menjaga lingkungan.

"Dengan penuh tawaduk saya membentangkan Belanjawan ini agar dihadam maksud dan manfaatnya buat rakyat serta negara," ujar beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2025 akan mencakup serta mencerminkan cita murni rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif.

"Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan," jelas Anwar.

Tambah beliau, pertimbangan dunia sekarang membicarakan pertumbuhan yang rancak tetapi tidak boleh terlepas dari usaha bagi merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baru serta tuntutan zaman tetapi mesti tidak terlepas dari tonggak utama, yakni untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan.

"Itulah menjadi sebahagian besar kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang telah diluncurkan dan kita bertekad serta beriltizam untuk meneruskan agenda reformasi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!