4 lelaki didakwa rompak jongkong emas RM5.9 juta milik sebuah syarikat

Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan merompak jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat, bulan lepas. Gambar hiasan
Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan merompak jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat, bulan lepas. Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan merompak jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat, bulan lepas.

Tertuduh terdiri daripada mekanik Aziz Ahmad Nor, 38, penyelenggara penyaman udara Krishore Raam, 30, Shah Harizie Zainal, 39, dan Mohamad Afiq Jamal, 33, yang masing-masing tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mereka didakwa bersama dua lagi yang telah dituduh melakukan samun berkumpulan menggunakan parang dengan merompak jongkong emas seberat 16.9 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta dalam kawalan seorang tukang proses emas lelaki berusia 22 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kilang di Kompleks Industri Puchong pada jam 11 pagi, 13 Septemebr lepas, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu disifatkan serius dan tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Muhammad Amirul Mukminin yang mewakili Aziz dan Krishore, bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan Aziz perlu menyara isteri yang mengandung tiga bulan manakala Krishore menanggung ibu berusia 59 tahun dan isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berumur sembilan tahun.

Shah Harizie dan Mohamad Afiq yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberi jaminan rendah kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap serta menjaga ibu bapa.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes 19 November ini.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia telah menyamun jongkong emas seberat 16.9 kg bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat di Kompleks Industri Puchong.

Hussein berkata, ketika itu dua individu berada di tempat kejadian dengan seorang daripadanya memukul dan mengacu parang kepada mangsa manakala seorang lagi mengambil beg berisi jongkong emas yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan syarikat.

Sementara itu, empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki yang merupakan penghantar emas dengan merompak dua jongkong emas anggaran berat 2 kg bernilai RM710,000.

Tertuduh terdiri daripada jurujual Putra Ramadan Jendaita, 37, pengawal keselamatan Ahmad Ramdhani Subhan, 25, Nazuwar Nahar, 36, yang bekerja sendiri dan pengawal keselamatan Afrizal Muslim, 39.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tepi jalan, berhadapan LRT Damai, Kampung Datuk Keramat pada 2.30 petang, 3 Okt lepas, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebat.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 November ini.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir manakala peguam K. Ramalingam mewakili Putra Ramadan, Ahmad Ramdhani serta Afrizal dan peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid mewakili Nazuwar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!