Belanjawan 2025: Peruntukan SPRM meningkat kepada RM360 juta

Kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan sebanyak RM360 juta kepada SPRM berbanding RM338 juta tahun lalu. Gambar hiasan
Kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan sebanyak RM360 juta kepada SPRM berbanding RM338 juta tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meningkatkan peruntukan sebanyak RM360 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding RM338 juta tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia seiring dengan pencapaian badan berkenaan yang menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk 2023.

"Sejak mengemudi negara, semua tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur.

"Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi dan pelbagai dasar sekiranya pelaksanaan masih di takuk lama salah guna kuasa, seleweng dana dan mengkayakan kelompok sendiri. Masa depan negara bergantung kepada kejayaan kita membanteras rasuah.

"Kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci.

Tambah Anwar, antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola serta kecekapan perkhidmatan awam.

"'Follow The Public Money Audit' merupakan Akta Audit pindaan untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sejumlah RM200 juta juga disediakan kepada Jabatan Audit Negara iaitu meningkat sebanyak RM173 juta. Ini sesuai dengan peranan lebih besar bagi memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan serta jaminan kerajaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!