Belanjawan 2025: Pemberian Khas Sarawak, Sabah dinaikkan sekali ganda

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda kepada RM600 juta mulai 2025.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, ia berikutan pemberian khas itu tidak pernah dikaji sejak 1969.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan tahun ini menaikkan kadar kepada RM300 juta kepada Sarawak dan Sabah, masing-masing RM16 juta dan RM125.6 juta.

“Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, kerajaan bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

Ujarnya, kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion.

“Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion. Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ujarnya, sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.

“Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.

“Sementara, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!