Belanjawan 2025: Kerajaan perkenal cukai dividen bagi pendapatan dividen lebih RM100,000
KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu bermula 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat dan individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.
“Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan, subsidi dari segi prinsip sepertimana sedekah tidak wajar diambil manfaat oleh golongan maha kaya.
Justeru menurut beliau, kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal.
Ulasnya, usaha itu telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.
“Umpamanya penyasaran subsidi elektrik tahun 2023 telah menjana penjimatan RM4 bilion. Penyasaran ini hanya melibatkan pengguna elektrik melebihi 600 kilowatt-jam yang perlu membayar penuh tanpa subsidi sementara 85 peratus rakyat kekal menikmati subsidi elektrik.
“Maka, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak.
“Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!