Makna 'pembangkang' yang sebenar

A
A
A

RABU lalu, Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media mempersoalkan hasrat pembangkang, terutamanya Umno untuk mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’ yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.

Alasannya, tindakan itu jelas mengkhianati undi rakyat dan tidak sihat untuk demokrasi sekaligus mengundang ketidakstabilan politik.

Begitulah lebih kurang. Sebagai pemerhati politik, kenyataan Nik Nazmi ini menarik untuk diperhatikan dan dikupas, terutamanya dalam konteks demokrasi dan pendemokrasian.

Jujurnya, timbul juga sedikit curiga dan simpati dengan kenyataan Nik Nazmi itu.

Maklumlah sebagai aktor politik kenyataan sedemikian selalunya keluar kalau ada sesuatu yang tak kena, apatah lagi dengan keadaan semasa yang nampak tidak berapa cantik buat Pakatan Harapan (PH), terutama partinya PKR.

Tetapi penulis bersetuju dengan beliau atas satu perkara, iaitu keperluan kepada adanya pembangkang yang berkesan dalam perjalanan politik negara.

Keperluan kepada peranan ‘semak dan imbang’ yang berkesan hanya mampu dilakukan dengan kewujudan pembangkang yang kuat dan berwibawa.

Cuma apakah itu sahaja cukup untuk menjadikan demokrasi negara menjadi baik dan sejahtera? Sudah tentulah tidak.

Artikel Berkaitan:

Menjadi pembangkang bukanlah sekadar untuk tidak bersetuju dengan kerajaan semata-mata.

Aspek dan dimensi ‘kepembangkangan’ juga perlu diperhatikan.

John Rawls (1971) mengkonsepikan kepembangkangan sebagai memberi kesedaran kepada pemerintah agar memenuhi tuntutan rakyat terhadap sesuatu permasalahan.

Sebab itu, dalam aspek kepembangkangan, selalunya gerakan-gerakan sivil menerusi kumpulan pendesak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kesatuan sekerja turut sama menyumbang dalam menyuburkan demokrasi.

Ini adalah kerana peranan sedemikian tidak boleh diletakkan kepada parti politik semata-mata.

Di negara maju, aspek inilah yang menjadi tumpuan berbanding pembangkang itu sendiri.

Jika kita melihat kepada analisis keputusan pilihan raya mereka secara mendalam, aspek kepembangkangan lebih banyak diperbincangkan, bukannya kekuatan atau kelemahan mana-mana parti setiap kali pilihan raya tamat.

Mungkin di Malaysia kita tidak menyaksikan ini sebelumnya disebabkan monopoli kuasa pemerintah sebelumnya yang menekan kepembangkangan, baik kepada parti pembangkang mahupun gerakan-gerakan sivil.

Sebab itulah kita tidak menyaksikan fenomena kepembangkangan berlaku sehinggalah apabila internet muncul dan mengubah segalanya.

Sebelum internet, pemikiran masyarakat sangat terkongkong menyebabkan kepembangkangan sukar dilakukan.

Sekian lama, kerangkan pemikiran dibentuk supaya meminggirkan dan memandang rendah kepada pembangkang yang terkial-kial mencari ruang dan medium untuk menyampaikan pandangan dan maklumat mereka kepada rakyat akibat tindakan pemerintah yang memonopoli sekaligus menutup ruang yang diperlukan.

Sekarang, ruang ini sudahpun terbuka luas malah dimangkinkan menerusi kecanggihan teknologi dan aplikasi pintar.

Sebab itu kalau diperhatikan, kepembangkangan menjadi semakin kompleks, meluas dan yang paling ketara, berbisa. Ini sangat berbeza dengan sebelumnya yang senyap dan terhad kepada komuniti atas talian (online community) sahaja.

Ini menjadikan fenomena kepembangkangan semakin menarik dan perlu dikaji.

Kerana, walaupun keperluan kepada parti pembangkang masih penting dalam sistem politik demokrasi, namun begitu, aspek dan dimensi kepembangkangan juga penting dan perlu untuk diperhalusi bersama.

Dalam konteks Malaysia Baharu, kekuatan dan kelemahan mana-mana parti dilihat tidak lagi menjadi isu kerana dimensi kepembangkangan ini sudah menjadi ‘buta parti’.

Kalau diperhatikan, keputusan Pilihan Raya-pilihan raya Kecil pasca PRU14 jelas memperlihatkan bagaimana kepembangkangan itu sudahpun berkembang merentasi kelas, jantina, bangsa dan agama.

Fenomena ‘kepembangkangan rakyat’ inilah yang perlu segera difahami oleh setiap parti politik, sekiranya masih mahu terus berkuasa disamping kekal relevan dalam politik arus perdana.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!