Anak bongsu manja, ringan tulang sebelum maut kemalangan

Jenazah dibawa pulang ke Kampung Surau, Baling sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Jenazah dibawa pulang ke Kampung Surau, Baling sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
A
A
A

BALING - "Selepas kejadian, baru saya sedar, arwah ringan tulang dan rajin tolong tanpa disuruh."

Demikian luah Mohd Naim Harun, 34, bapa kepada Muhammad Darimi, 7, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Charok Putih di sini pada Khamis.

Dalam kejadian itu, Muhammad Darimi membonceng motosikal bersama abangnya, Muhammad Daniyal, 10, dan seorang lagi rakan mereka, Muhamad Adam Daniel Mohd Azam, 10.

Mohd Naim yang ditemui di rumahnya di Kampung Surau, terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian berkata, dia tidak menyangka, Muhammad Daniyal menunggang motosikal membawa adik dan rakannya hingga ke jalan besar Jalan Baling-Tanjung Pari sehingga berlakunya kemalangan.

Mohd Naim
Mohd Naim

Mengenang kembali beberapa peristiwa sejak beberapa minggu kebelakangan ini, jelasnya, Muhammad Darimi yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik mudah menghulurkan bantuan tanpa disuruh.

"Saya strok sebelah kaki sejak tiga tahun lalu menyebabkan pergerakan saya terhad...bila sebut di mulut nak tidur, arwah cepat-cepat terus ambil bantal beri pada saya.

Artikel Berkaitan:

"Bila saya sebut dahaga, dia terus ambil air, selalu kena suruh. Selain itu dia pun manja," ujarnya.

Menurut kakitangan awam itu, ketika kejadian, dia sedang bekerja di Sik dan apabila dimaklumkan, terus bergegas ke lokasi namun hanya melihat jasad anak kaku di depan mata manakala yang lain cedera parah.

Jenazah disembahyang di rumah keluarga di Kampung Surau, Mukim Siong, Baling, Kedah selepas solat Jumaat.
Jenazah disembahyang di rumah keluarga di Kampung Surau, Mukim Siong, Baling, Kedah selepas solat Jumaat.

Mohd Naim menjelaskan, dia sering melarang anak-anaknya menunggang motosikal, namun disebabkan penyakit yang dihadapi, dia lebih banyak di rumah selain bergantung kepada isteri untuk pergi dan balik kerja.

Tambah Mohd Naim, motosikal yang dinaiki mangsa baru sahaja dibaiki setelah lama rosak bagi membolehkan sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga lain menggunakan apabila berlaku kecemasan.

"Motosikal itu dah lama rosak, saya baru minta orang baiki, tak sangka ini pula yang jadi," katanya.

Sementara itu, nenek mangsa, Juariah Raof, 67, berkata, insiden itu berlaku dalam sekelip mata selepas solat.

"Sebelum keluar tu nampak pelik juga, Muhammad Danial masuk rumah saya dulu (terletak bersebelahan) untuk solat, lepas tu terus keluar tak tau ke mana.

"Arwah pula masuk rumah untuk mengambil pisau, duk tunggu hantar balik pisau, tak balik-balik...rupanya dapat tahu dah meninggal dunia kemalangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, dalam kejadian yang diterima kira-kira jam 3.35 petang itu, motosikal yang dinaiki tiga kanak-kanak tersebut bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah Kampung Landai, Sik menghala ke Kampung Bandar.

Kemalangan menyebabkan Muhammad Darimi maut di lokasi kejadian.
Kemalangan menyebabkan Muhammad Darimi maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, motosikal terbabit dari arah Kampung Charok Putih ke Kampung Surau.

"Apabila sampai di tempat kejadian, van yang sedang bergerak lurus, tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.

"Akibatnya, Muhammad Daniyal melambung dan jatuh ke dalam longkang manakala Muhammad Darimi dan Muhamad Adam Daniel tersepit di tayar hadapan dan belakang van," katanya.

Muhammad Darimi mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya dan rakan mereka patah di kaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!