Belanjawan 2025: Kerajaan mulakan projek rintis peroleh baja tender terbuka

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM65 juta disediakan bagi membangunkan perairan dan saliran jelapang padi selain meluaskan estet Felcra di Sabah serta Sarawak.

Menurut Menteri Kewangan itu, ia kerana pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan sehektar.

Jelasnya, Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 juga bakal bermula melibatkan hampir RM1 bilion dengan keluasan hampir 11,000 hektar.

”Ia mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus sekali gus melonjakkan pendapatan sekitar 43 peratus buat 6,100 pesawah iaitu RM6,000.

”Sejumlah RM2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah serta nelayan, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun lalu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar turut memaklumkan, kerajaan bersetuju menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM84,000 buat Semenanjung dan RM90,000 untuk Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!