Na'imah gagal tangguh sementara perintah bayar tunggakan cukai RM3I3 juta

Na'imah Abdul Khalid. Foto Bernama
Na'imah Abdul Khalid. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, untuk penangguhan sementara perintah supaya beliau membayar RM313.82 juta tunggakan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Dr Shahnaz Sulaiman memutuskan mahkamah mendapati tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan permohonan Na'imah untuk penangguhan, dan menekankan bahawa responden (LHDN) mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan kutipan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Dalam penghakimannya yang dikeluarkan hari ini, hakim itu berkata, pembayaran cukai mesti dibuat tanpa mengira jumlahnya, walaupun dalam pertikaian undang-undang yang sedang berjalan.

Mengenai jumlah cukai yang besar yang dipersoalkan, mahkamah menjelaskan bahawa takrifan "jumlah besar” adalah relatif.

"Kepada rakyat biasa, taksiran cukai sebanyak RM30,000 mungkin dianggap besar. Namun begitu, mengikut ACP, jumlah sedemikian mesti dibayar. Undang-undang terpakai sama rata kepada semua,” katanya.

"Sama ada taksiran cukai RM30,000 atau RM30 juta, undang-undang harus dan mesti diguna pakai dengan cara yang sama. Memandangkan kes ini berkaitan dengan pembayaran cukai, apa-apa cukai yang dikutip daripada pemohon boleh dipulangkan oleh responden sekiranya perlu,” kata beliau.

Na'imah, 67, memohon penangguhan sementara itu sehingga selesainya permohonannya untuk semakan kehakiman terhadap notis LHDN untuk cukai tambahan berhubung tahun taksiran 2018.

Pada 13 Ogos, beliau mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan tuntutan LHDN bagi pembayaran tunggakan cukai sebanyak RM313.8 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam afidavit sokongannya, Na’imah mendakwa taksiran cukai terhadapnya adalah berdasarkan tuntutan tidak berasas melebihi RM700 juta dalam dakwaan pendapatan tidak diisyitiharkan pada 2018, yang disifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.

Selain itu, beliau juga mendakwa responden telah gagal membayar balik cukai sebanyak RM3.807 bilion yang terhutang kepadanya dari 2017 dan sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!